PENJAGA gol Terengganu FC, Suhaimi Hussin membuktikan dirinya layak untuk menyarung jersi kebangsaan selepas sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang ketika membantu skuad Penyu mengikat Bali United 1-1 dalam aksi kedua Kumpulan G, Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar, Bali pada Rabu.
Aksi cemerlang Suhaimi menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya penyerang Bali United memastikan Terengganu membawa pulang satu mata sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah dan dia menerima pujian daripada pengendali Bali United, Stefano Cugurra.
“Kami tidak mendapat keputusan yang baik di laman sendiri. Terengganu berjaya mematahkan serangan kami sehingga kami berjaya menjaringkan gol pada babak kedua dan selepas itu kami bermain agak santai hingga membenarkan mereka menjaringkan gol.
“Selepas mereka menyamakan kedudukan, barulah para pemain mula kembali menyerang tetapi penjaga gol Terengganu beraksi baik menyelamatkan beberapa peluang kami hingga kami terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Gol pendahuluan menerusi Privat Mbarga pada minit ke-54 dilihat seakan memberikan tiga mata penuh buat Bali United sebelum Syahmi Zamri menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki enam minit untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Cugurra juga kini mahu para pemainnya menumpukan perhatian kepada baki empat perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC kerana dia mahu memastikan mata maksimum dapat dikutip untuk layak ke peringkat seterusnya.
“Kini kami mempunyai empat mata bersama-sama Terengganu manakala Central Coast Mariners dengan tiga mata dan kami perlu berikan tumpuan dalam setiap perlawanan untuk memastikan kami mendapat mata maksimum,” jelasnya.
Keputusan seri itu menyaksikan Bali United masih kekal di tangga teratas Kumpulan H dan bakal bertemu Central Coast Mariners di Australia pada 26 Oktober manakala Terengganu FC akan melayan kunjungan Stallion Laguna di Kuala Terengganu.