KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memuji semangat juang yang ditunjukkan para pemainnya meskipun beraksi dalam keadaan sukar ekoran hujan lebat ketika perlawanan Kumpulan H, Piala AFC di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Dia juga turut berterima kasih kepada semua penyokong yang hadir menempuh cuaca yang kurang baik untuk menjadi pembakar semangat dan sebagai saksi kemenangan Sabah di peringkat Asia menewaskan wakil Singapura, Hougang United 3-1.

“Ianya satu permulaan yang positif dimana dalam keadaan yang kurang baik kita dapat keputusan yang diinginkan tetapi masih banyak perlu diperbaiki terutama dari segj penyudah dan ini perlu diperbaiki jika kita ingin layak ke peringkat seterusnya.

“Dengan keadaan padang yang tidak begitu elok dan permukaan yang licin, ianya sedikit merencatkan perancangan kita namun kita masih dapat dua gol dari ‘set piece’ dan pemain tunjuk semangat juang dalam perlawanan ini selepas dibolosi.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih pada penyokong yang setia meskipun dalam keadaan hujan. Mereka adalah penyokong yang penting bagi kita di sini dan ini akan beri banyak motivasi kepada semua pemain yang diturunkan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kim Swee juga tidak mahu menilai prestasi pasukannya terlalu awal dalam kejohanan ini tetapi dia percaya mereka mampu melangkah lebih jauh sekiranya dapat memperbaiki beberapa perkara yang sudah pun dikenalpasti.

“Kita tidak boleh mengambil mudah walaupun mendahului dan perlu berdisiplin. Pemain berjaya tunjuk disiplin yang tinggi meskipun gagal manfaat peluang tetapi mereka tetap cuba untuk dapatkan gol tetapi saya percaya kita mampu memperbaikinya.

“Buat masa ini masih terlalu awal untuk menilai kerana masih banyak lagi perlawanan dan untuk memastikan kita mencapai objektif atau pun tidak adalah pada hujung musim untuk kita lihat keputusannya dan perbaiki untuk musim hadapan,” jelasnya.

Dua jaringan daripada Darren Lok dan satu daripada Gabriel Peres sudah cukup untuk memberikan Sabah tiga mata penuh seterusnya menduduki tangga teratas Kumpulan H menjelang aksi kedua bertemu PSM Makassar di Bali pada 5 Oktober nanti.