PEMAIN tengah kebangsaan, Brendan Gan menganggap kegagalan menyempurnakan peluang adalah faktor utama keputusan tidak memihak kepada skuad negara ketika tewas 0-3 kepada Vietnam dalam Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di Stadium My Dinh, Hanoi.

Namun dia mahu rakan-rakan sepasukannya terus melupakan episod duka ini dan kembali fokus kepada perlawanan terakhir kumpulan menentang Singapura kerana peluang ke separuh akhir masih terbuka.

Brendan juga tidak mahu mengulas lanjut mengenai keputusan kontroversi yang dibuat pengadil Jepun, Ryuji Sato sebaliknya mahu memperbaiki apa yang kurang dan meneruskan perkara positif yang diperolehi pada perlawanan ini.

“Saya tidak mahu fikirkan tentang keputusan pengadil. Jumlah jaringan dalam perlawanan ini tidak menggambarkan keseluruhan permainan dan bagaimana kami bermain serta beberapa peluang yang kami ada. Saya sentiasa positif meskipun tewas dan ianya mengecewakan.

“Kami memiliki beberapa peluang tetapi kami tidak sempurnakannya dan ini menjadikannya sukar untuk menang. Vietnam pasukan yang hebat tetapi kami juga hebat dan kami akan balik dan fokus kepada apa yang kami boleh baiki.

“Singapura juga adalah lawan yang sukar tetapi dengan aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil saya rasakan kami boleh pergi jauh dalam kejohanan ini dan cuba berikan yang terbaik buat pasukan namun ada beberapa perkara kami perlu ubah tetapi ada banyak juga perkara positif apabila kami berjaya mengasak Vietnam.

“Sukar datang ke Vietnam ini dengan atmosfera penyokong yang baik. Saya jangka kami dapat keputusan lebih baik tetapi ini adalah bola sepak dan kita perlu terima kenyataan itu,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.

Brendan juga tidak kisah dengan pendapat mereka yang diluar sana kerana dia menyedari banyak perkara positif yang mereka perolehi dan kini masing-masing akan mula fokus kepada perlawanan seterusnya menentang Singapura.

Selepas beraksi tiga perlawanan, Malaysia kini ditangga kedua Kumpulan B dengan enam mata terikat dengan Vietnam dan Singapura namun dibezakan jumlah perbezaan jaringan dan akan bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.