TIMOR Leste bersedia untuk menebus kekalahan besar dalam perlawanan pembukaan mereka apabila bertemu pasukan tuan rumah, Malaysia, pada perlawanan kedua Kumpulan A Piala Asia Mitsubishi Electric 2024 pada Rabu.

Dalam sidang media pra-perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, ketua jurulatih Timor Leste, Simon Pablo berkongsi pandangan mengenai perlawanan yang akan berlangsung malam esok.

Simon Pablo mengakui bahawa pasukannya menghadapi cabaran besar menentang Malaysia.

“Kami telah menganalisis potensi pasukan Malaysia, kami tahu mereka mempunyai pemain yang bagus dan kami harap dapat bermain lebih baik berbanding perlawanan lalu serta menjadi lebih kompetitif,” katanya semasa sidang media pra-perlawanan.

Simon Pablo (kiri) dan Joao Pedro kanan) ditemui semasa sidang media pra-perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Apabila ditanya sama ada kekalahan besar kepada Thailand dalam perlawanan pertama akan mempengaruhi taktikal mereka, Pablo mengesahkan bahawa pasukannya akan memberi tumpuan untuk memperbaiki kelemahan di zon pertahanan.

“Kami tidak bermain dengan baik dalam perlawanan sebelum ini kerana terdapat banyak masalah dalam pertahanan kami, dan kami perlu menilai semula semua aspek.

“Kami tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama. Perlawanan menentang Thailand memberi kami pelajaran, dan kami harap dapat tampil lebih baik menentang Malaysia,” ujarnya

Kekalahan besar dalam perlawanan pertama juga memberi tamparan hebat kepada moral pasukan. Namun, Pablo menekankan pentingnya untuk bangkit dan belajar dari pengalaman tersebut.

“Kami datang ke kejohanan ini untuk belajar, berkembang, dan memperbaiki diri. Kami tahu kami adalah antara pasukan paling lemah dalam persaingan Asia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Namun, kami berharap dapat mengulangi prestasi baik yang ditunjukkan sebelum ini menentang Mongolia dan Brunei.

“Perlawanan menentang Thailand adalah satu permulaan yang sukar, tetapi kami mahu terus maju dan menjadi lebih kompetitif,” ujarnya lagi.

Bagi Pablo, keputusan seri menentang Malaysia sudah cukup memadai untuk pasukan yang dibimbingnya itu.

“Dalam bola sepak, anda sentiasa mahukan kemenangan tetapi jika kami berjaya mendapatkan keputusan seri, ia akan menjadi hasil yang sangat baik untuk kami.

“Apa yang lebih penting ialah kami tampil lebih kompetitif dan bermain lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini. Jika kami kalah tetapi menunjukkan peningkatan, itu juga sudah cukup baik untuk membantu pasukan ini berkembang.” Tambahnya.

Walaupun Timor Leste menghadapi tekanan selepas kekalahan besar dalam perlawanan pertama, mereka akan tetap berusaha keras untuk membuktikan kemampuan mereka dan menunjukkan peningkatan dalam perlawanan menentang Malaysia nanti.