KAPTEN skuad Harimau Malaya, Dominic Tan, menyuarakan semangat dan tekad tinggi menjelang perlawanan kedua Kumpulan A Kejohanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 menentang Timor-Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

Pemain pertahanan berpengalaman itu menegaskan setiap perlawanan bersama pasukan negara adalah satu penghormatan besar, sambil berjanji untuk memberikan yang terbaik demi memastikan kemenangan buat Malaysia.

“Bagi saya secara peribadi, bermain untuk negara adalah satu penghormatan besar. Setiap perlawanan kami ambil serius, dan kami sentiasa memberi yang terbaik untuk menyumbang kepada negara.

“Perlawanan esok sangat penting, dan kami mahu beraksi dengan kuat di laman sendiri untuk mendapatkan tiga mata,” kata Dominic dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.

Pau Marti bersama ketua pasukan malaysia, Dominic Tan dalam sidang media pra-perlawanan.

Sebagai ketua pasukan baharu, Dominic juga memainkan peranan penting dalam membimbing pemain-pemain muda yang pertama kali menyertai skuad kebangsaan.

Dia menganggap kehadiran mereka sebagai satu tanda positif bagi pembangunan pasukan, sambil menekankan betapa pentingnya untuk bekerjasama dalam mencapai kejayaan.

“Menjadi kapten untuk pasukan kebangsaan adalah satu kebanggaan dan penghormatan. Saya akan melakukan yang terbaik untuk membimbing pemain-pemain muda dan baharu dalam pasukan ini.

“Mereka layak berada di sini, dan semua menunjukkan semangat tinggi untuk beraksi di atas padang. Ia satu petanda yang baik, dan kami akan bekerjasama untuk memastikan kejayaan bersama,” jelas Dominic.

Pau Marti bersama ketua pasukan Malaysia, Dominic Tan dalam sidang media pra-perlawanan.

Ketika ditanya tentang perubahan yang perlu dilakukan dalam skuad, Dominic menegaskan bahawa struktur dan sistem di bawah bimbingan jurulatih Pau Marti sudah berada pada tahap terbaik.

Sebagai kapten, Dominic lebih fokus kepada tanggungjawab memimpin pasukan, terutama dalam memastikan para pemain muda dapat menyesuaikan diri dengan baik.

“Saya rasa tiada apa yang perlu diubah. Di bawah coach Pau, semuanya telah dilakukan dengan sangat baik.

“Sebagai kapten baharu, saya hanya mengambil peranan ini untuk membimbing pemain muda dan membantu mereka menyesuaikan diri,” tambahnya.

Pau Marti bersama ketua pasukan malaysia, Dominic Tan dalam sidang media pra-perlawanan.

Bintang Sabah FC itu turut menyeru rakan sepasukan untuk terus komited, terutamanya dalam perlawanan esok yang bukan sahaja penting untuk mengutip mata penuh, tetapi juga untuk membina momentum dalam kejohanan ini.

Dengan sokongan padu penyokong di Bukit Jalil, Harimau Malaya mahu memastikan kemenangan dan memberikan persembahan terbaik di depan penyokong setia.

Perlawanan kedua Harimau Malaya dalam Kejohanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 menentang Timor-Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Rabu.

Skuad negara akan turun menentang Timor-Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan harapan tinggi untuk mencatat kemenangan pertama dan terus menghidupkan peluang mara ke peringkat seterusnya.