PEMAIN Timor Leste, Joao Pedro, bersedia untuk menghadapi cabaran besar menentang Malaysia dalam perlawanan kedua Kumpulan A Piala Asia Mitsubishi Electric 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Perlawanan menentang Malaysia pastinya satu cabaran yang besar kerana mereka adalah salah satu pasukan terkuat di Asia Tenggara.
“Namun, kami akan cuba memberikan yang terbaik dan berusaha untuk tampil lebih baik daripada perlawanan sebelum ini,” katanya ketika ditemui dalam sidang media pra-perlawanan pada Selasa.
Mengulas mengenai moral pasukan selepas kekalahan besar kepada Thailand, pasukannya tidak menjangka akan dibolosi sebanyak itu dalam perlawanan pertama tempoh hari.

Joao Pedro (kanan) optimis mampu memberikan saingan dalam perlawanan menentang Malaysia pada Rabu.
“Kami tidak menjangka untuk bolosi begitu banyak gol dalam perlawanan pertama tetapi kami tidak mempunyai banyak masa untuk memikirkan kekalahan itu.
“Kami sudah melangkah ke hadapan dan kini fokus sepenuhnya untuk perlawanan seterusnya. Kami akan belajar dari kesilapan dalam perlawanan tersebut dan memperbaiki segala aspek yang tidak berjalan dengan baik.
“Kami bersedia untuk perlawanan esok dan berharap untuk memberikan yang terbaik,” jelasnya.
Joao Pedro turut memberi pandangan mengenai pengalamannya bermain di Malaysia sebelum ini bersama UiTM dan memberikan pendapat tentang pasukan Malaysia.

“Berdasarkan statistik, saya memang ada pengalaman bermain di Malaysia bersama UiTM sebelum ini dan mengenai pemain Malaysia, saya rasa mereka mempunyai banyak pemain yang dipanggil ke skuad kebangsaan dan semuanya bagus.
“Namun, saya rasa bukan hanya satu pemain yang perlu diperhatikan, tetapi kesemua 11 pemain mereka, termasuk pemain simpanan yang juga mempunyai kualiti. Jadi, saya lebih fokus kepada keseluruhan pasukan berbanding individu,” tambah Joao Pedro.
Dia turut memberi pandangan tentang saingan Kumpulan A Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan datang, menyatakan bahawa mereka bertekad untuk memperbaiki prestasi mereka dan memberikan saingan sengit kepada pasukan-pasukan lain.
Dengan semangat dan keinginan untuk berkembang, The Rising Sun bersedia menghadapi Malaysia dan terus memperbaiki diri sepanjang kejohanan ini berlangsung.