PERSATUAN Bolasepak England FA akan memberi taklimat kepada seluruh pasukan, krew, staf, penyokong dan media yang terlibat tentang tatacara dan etika ketika berada di Piala Dunia Qatar 2022.
Perkara itu diputuskan bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku sepanjang kejohanan terbesar bolasepak dunia itu berlangsung.
Skuad kendalian Gareth Southgate termasuk penyokong dan staf akan dibekalkan dengan informasi terkini tentang “do’ s and dont ‘s” yang dibenarkan dalam budaya Qatar supaya mereka tetap menghormati meskipun setiap individu menganut agama masing-masing.
Dalam pada itu, Kerajaan United Kingdom dalam satu sidang media menegaskan agar kesemua rakyat England agar mematuhi norma-norma yang ditetapkan supaya tidak timbul masalah.
“Anda harus menghormati budaya negara lain, adat, tradisi, peraturan dan agama dan menjaga tingkah laku sepanjang masa supaya mereka menyambut baik dan tidak tersinggung dengan kehadiran anda,” katanya.
Bagaimanapun, negara Islam tersebut telah melonggarkan beberapa etika dan kriteria semasa berada di Qatar memandangkan kejohanan tersebut bakal disaksikan seluruh pelosok dunia.
Biarpun begitu, Qatar melarang sekeras-kerasnya penggunaan alkohol dan perlakuan gay atau homoseksual di negara tersebut.
Dari sudut etika pemakaian, pelawat dinasihatkan untuk kurang menunjukkan bahagian kulit. Bagi perempuan, mereka perlu memakai pakaian yang tidak menampakkan bahu, lengan dan kaki.
Manakala bagi lelaki, dinasihatkan untuk tidak memakai seluar pendek dan baju yang terlampau ketat ketika berada di sana.
Pelawat juga dinasihatkan agar meneliti cara menyampaikan salam hormat kepada tuan rumah kerana bersalaman antara lelaki dan perempuan adalah sangat dilarang dan ‘haram’ dalam agama Islam.