SKUAD hoki kebangsaan menjalani latihan pertama kempen Piala Dunia 2023, di India, semalam, sebaik tiba di Rourkela.

Pengendali Speedy Tigers, A.Arulselvaraj berkata, mereka menaiki penerbangan dari Bhubaneswar ke Rourkela, dan terus menjalani latihan di padang latihan sebelum bergerak ke hotel penginapan.

“Tiba sahaja di Rourkela petang semalam (Sabtu), kita mula menjalani latihan bermula jam 7 petang waktu India.

“Saya gembira kerana pusat latihan berhampiran dengan lapangan terbang di Rourkela dan bersebelahan dengan Stadium Birsa Munda,” kata Arul.


Arul berkata, Speedy Tigers turut menjalani latihan di Stadium Birsa Munda bermula jam 10 pagi waktu India.

“Perlawanan persahabatan menentang Sepanyol Rabu ini, mungkin berlangsung jam 5 petang tetapi kita belum putuskan sama ada akan bermain dua suku permainan atau empat suku permainan.

“Tapi yang pasti, kita akan lakukan latihan perlawanan pukulan sudut penalti dan juga penalti shootout.”

Skuad negara yang berada dalam kumpulan C, akan membuka saingan Piala Dunia 2023 pada Sabtu (14 Januari) menentang Belanda, diikuti Chile pada 16 Januari, dalam aksi yang akan berlangsung di Rourkela.

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan pula, Speedy Tigers akan menentang New Zealand di Bhubaneswar, dalam usaha menempatkan diri ke suku akhir.