DIOGO Jota dan Cody Gakpo masing-masing meledak dua gol ketika juara bertahan Liverpool membelasah West Ham 5-1 di Anfield awal pagi tadi untuk mara ke pusingan keempat Piala Liga dalam satu lagi persembahan mantap daripada anak buah Arne Slot.
Mohamed Salah turut menyumbang gol buat Liverpool yang ketinggalan dan berdepan beberapa detik cemas sebelum bangkit melakar kemenangan selesa.
“Saya berasakan dalam hampir keseluruhan perlawanan kami menguasai. “Kami banyak menguasai pegangan bola, terutama pada babak pertama,” kata Slot.
West Ham – yang beraksi 10 pemain apabila Edson Alvarez dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-76 – membuka tirai jaringan di Anfield apabila percubaan Wataru Endo untuk mengeluarkan bola susulan sepakan sudut terkena Jarell Quansah dan melepasi penjaga gol Caoimhin Kelleher bagi gol sendiri.
Kegembiraan The Hammers tidak lama apabila Jota menyamakan kedudukan empat minit kemudian, melonjak tinggi untuk menanduk masuk voli akrobatik Federico Chiesa.
Jota meledak gol keduanya pada minit ke-49 apabila Curtis Jones melakukan hantaran ke belakang kepada pemain Portugal itu yang merembat ke penjuru gol.
“Adalah penting apabila anda ketinggalan untuk mendapatkannya (gol penyamaan) secepat mungkin dan untuk menjaringkan gol di Anfield, ia sering kali istimewa jadi gembira membantu kemenangan pasukan,” kata Jota kepada Sky Sports.
Bintang utama Salah menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-74 apabila dia menampan masuk bola muntah susulan percubaan Alexis Mac Allister, kemudian Alvarez dibuang padang dua minit kemudian kerana terjahan keras.
Gakpo menambah dua gol pagi pada minit ke-90 dan 93, gol pertamanya menakjubkan dari jarak 20 meter selepas hantaran satu dua dengan Darwin Nunez.
The Reds melakar rekod kejuaraan Piala Liga ke-10 musim lalu, trofi terakhir pengurus Jurgen Klopp bersama pasukan itu sebelum dia meletak jawatan pada hujung kempen.
Pengurus baharu Slot meneruskan legasinya dengan bertindak cemerlang setakat ini. Liverpool menghuni tangga kedua di belakang Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris selepas lima perlawanan.
Mereka juga membuka tirai kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan ke atas AC Milan minggu lalu.
“Kami hanya mengalami satu kekalahan. Kami masih berkembang, masih membentuk idea kami – tetapi hanya dengan memenangi perlawanan anda menjadi lebih baik jadi kami amat gembira.
“Ia sukar tetapi kami mahu menang sekali lagi, kami adalah juara bertahan,” kata Jota.
Sementara itu, Arsenal turut mencatat keputusan yang sama apabila menewaskan pasukan divisyen ketiga, Bolton Wanderers 5-1 di Stadium Emirates untuk layak ke pusingan keempat.