MALAYSIA terus menunjukkan kredibiliti dalam dunia pengadilan bola sepak apabila seramai 23 pengadil negara mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Dengan jumlah ini, Malaysia kini berada di kedudukan kedua tertinggi di Asia Tenggara, hanya di belakang Thailand yang memiliki 28 pengadil Fifa.

Pengadil berpengalaman, Nazmi Nasaruddin, mengetuai senarai tujuh pengadil utama negara yang diiktiraf Fifa.

Bersamanya adalah nama-nama seperti Razlan Joffri Ali, Kamil Zakaria, Usaid Jamal, Izzul Fikri Kamaruzzaman, Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah, dan Nurul Ain Ezzaty Zainal – pengadil wanita yang turut membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Dalam kategori penolong pengadil pula, Zairul Khalil Tan mengetuai senarai 10 wakil negara yang mendapat tauliah Fifa, termasuk dua penolong pengadil wanita, Nur Akmal Anuar dan Munirah Ha Ali, yang membuktikan keupayaan wanita Malaysia dalam bidang pengadilan bola sepak.

Malaysia turut cemerlang dalam pengadilan futsal dengan empat pengadil diiktiraf Fifa, diketuai Nurul Atikah Janah.

Dalam kategori bola sepak pantai pula, Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin dan Muhammad Syahir Shaharul Nizam menjadi wakil negara yang berjaya mendapat pengiktirafan badan induk tersebut, menjadikan Malaysia salah satu daripada dua negara di Asia Tenggara selain Thailand yang memiliki pengadil bertaraf FIFA dalam kategori ini.

Walaupun Thailand mendahului senarai dengan 28 pengadil FIFA, kedudukan Malaysia di tempat kedua dengan 23 pengadil jelas menunjukkan bahawa negara ini terus konsisten melahirkan barisan pengadil berkualiti.

Vietnam (19), Myanmar (17), dan Singapura (13) melengkapkan senarai negara dengan pengadil FIFA terbanyak di rantau ini.

Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan individu pengadil, tetapi juga hasil usaha pembangunan berterusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam memperkasakan mutu pengadilan bola sepak di negara ini.

Dengan sokongan padu dan peluang lebih besar, Malaysia berpotensi terus mencipta impak besar di arena pengadilan antarabangsa.