JUARA bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas mengalahkan Negeri Sembilan FC 4-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Pesta skuad Harimau Selatan bimbingan Esteban Solari bermula sebaik sahaja Bergson Da Silva menanduk gol pembukaan seawal m-6 menewaskan penjaga gawang lawan, Firdaus Irman Fadhil. Paling manis, ini adalah jaringan ke-100 penyerang kelahiran Brazil untuk JDT.
Lima minit kemudian, Bergson menambah jaringan JDT selepas menyudahkan sepakan percuma Juan Muniz di luar kotak penalti untuk meletakkan pasukan selesa mendahului 2-0.
Ketinggalan dua gol, skuad Jang dilihat bergelut mencari rentak apabila hanya berjaya mendapat satu sepakan penjuru dan gagal menembusi kekentalan barisan pertahanan JDT serta ketangkasan penjaga gol Farizal Marlias.
PIALA MALAYSIA (Suku Akhir 2)
FT : Johor Darul Ta'zim 4-1 Negeri Sembilan FC
⚽ Bergson Da Silva 6',11', Juan Muniz 29', Fernando Forestieri 90+1'
⚽ Zamri Pin 39'Agregat : 7-1#PialaMalaysia2023#LuaskanKuasamuJohor#HobinJangHobin pic.twitter.com/4uDgpuvruw
— Flash Sukan (@FlashSukan) September 23, 2023
Stadium yang di dominasi sorakan penyokong merah dan biru lebih 10,000 kehadiran kembali bergema apabila sepakan percuma kaki kiri Juan Muniz memahatkan namanya dalam senarai penjaring m-29 untuk sekali lagi membuatkan Firdaus Irman terpaku.
Usaha Negeri Sembilan yang tidak putus asa akhirnya mendapatkan gol pada m-39 hasil hantaran lintang Mahalli Jasuli untuk disudahkan rembatan deras Karim Pin untuk mengurangkan kedudukan agregat menjadi 6-1 menuju ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, JDT terus menggandakan asakan ke kubu pelawat termasuk memaksimumkan lima pertukaran bagi menambah jaringan.
Pemain gantian, Diogo sepatutnya membuatkan lawan terus terduduk namun jaringan yang menerjah jaring dibatalkan pengadil gara-gara berada pada posisi ofsaid.
Bagaikan harimau yang belum puas menerkam mangsa, Fernando Forestieri yang juga dibawa masuk melengkapkan malam gemilang JDT apabila tenang menolak bola melepasi jangkauan penjaga gol di masa kecederaan.
JDT akan membuat perhitungan menentang Perak FC atau Sabah FC pada peringkat separuh akhir dalam misi mempertahankan kejuaraan.