BEKAS pemain Pahang, Faizol Hussain masih belum mampu melupakan malam keramat 2014 — saat Tok Gajah bangkit daripada ketinggalan, beraksi dengan 10 pemain dan akhirnya muncul juara Piala Malaysia menewaskan JDT menerusi penentuan penalti.
Kini, 11 tahun selepas malam bersejarah itu, Pahang kembali ke pentas final menentang lawan yang sama dan Faizol percaya — keajaiban boleh berulang, jika semangat dan sokongan terus membara.
Mengimbau final penuh emosi itu, Faizol mengakui tekanan sangat tinggi apabila Pahang ketinggalan 1-2 pada separuh masa pertama dan kehilangan tonggak pertahanan, Saifulnizam Miswan akibat kad merah.
Namun, semangat juang tanpa henti serta dorongan jurulatih Dato’ Zainal Abidin Hassan mengubah segalanya. Gol penyamaan Dickson Nwakaeme menjadi pemangkin sebelum kemenangan dramatik melalui sepakan penalti.
“Waktu itu, kami bukanlah pasukan dengan bintang besar macam JDT, tapi semangat kekeluargaan dan kerja keras jadi kunci. Dalam bilik persalinan, jurulatih pesan — jangan pernah mengalah. Dan itulah semangat Tok Gajah sebenar,” katanya penuh bangga.
Bagi Faizol, detik ini bukan sekadar sejarah tetapi inspirasi untuk skuad Pahang kendalian Fandi Ahmad yang bakal berdepan misi getir di Stadium Nasional Bukit Jalil, 26 April ini.
Beliau menyeru seluruh penyokong Pahang agar hadir memenuhi stadium, menjadi pemain ke-12 dan menyuntik semangat buat pasukan yang telah menanti 11 tahun untuk kembali ke pentas berprestij ini.
“Penyokong adalah nadi pasukan. Kalau dulu kami boleh bangkit dengan sokongan, kali ini pun saya yakin mereka perlukan benda yang sama. Jangan berhenti percaya sampai wisel terakhir.”
Kini, Tok Gajah bukan sekadar menentang JDT — mereka menentang sejarah, harapan dan impian seluruh negeri.