PENYERANG Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor berterima kasih kepada ‘sifu’, Yusri Che Lah hasil kejayaan mereka layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia walaupun berdepan pelbagai rintangan.
Gol tunggal daripada Wan Zack cukup memastikan The Bos Gaurus mengecewakan harapan menggunung Sabah FC untuk kemenangan agregat 3-2.
“Syukur Alhamdulillah kita layak dan kredit perlu diberikan kepada barisan kejurulatihan dan semua pemain yang menunjukkan aksi 100 peratus pada malam ini.
“Kehadiran coach Yusri juga cukup membantu kami dan sudi membimbing para pemain. Bagi saya, ia adalah permulaan baru untuk skuad Perak sebab sebelum ni kami agak perlahan dalam liga pada awal musim.
“Kini, siapa sangka kita akan pergi ke separuh akhir dan memberikan impak besar kepada pasukan,” katanya ditemui media selepas perlawanan di Stadium Perak, Ipoh.
Wira Perak FC malam tadi, Wan Zack Haikal Wan Noor. Jom dengar apa komen beliau selepas perlawanan.@perakfcofficial#PialaMalaysia2023#KejoryobKejor#flashsukan pic.twitter.com/gNGl6LElXo
— Flash Sukan (@FlashSukan) September 25, 2023
Bekas pemain kelab Ryukyu FC berusia 32 tahun itu turut memuji persembahan pemain muda yang berani dan mempamerkan komitmen tinggi serta semakin bertambah baik dari hari ke hari.
Diajukan mengenai tahap kecederaan terkini selepas dikeluarkan oleh jurulatih, Wan Zack Haikal akui tiada sebarang yang serius menimpa dirinya.
“Alhamdulillah saya tidak mengalami kecederaan cuma mengalami masalah di bahagian rusuk. Mungkin kerana terlalu kepenatan,” katanya lagi.