JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berjaya melakar dua sejarah kelab walaupun terpaksa berhadapan aksi yang panas sebelum menang 2-0 keatas Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu.
JDT mengakhiri pusingan pertama dengan rekod 13 kemenangan dan hanya bolos sekali menerusi sepakan penalti serta mengekalkan ‘clean sheet’ dalam sembilan perlawanan berturut-turut.
Selepas berjaya membelasah lawan yang sama 5-0 ketika saingan Piala FA minggu lalu, JDT ditekan dengan corak permainan yang berbeza dari Penang sebelum jaringan Corbin Ong dan Fernando Forestieri pada setiap babak memberikan tiga mata penuh buat Harimau Selatan.
LIGA SUPER 2023
FT: Penang FC 0-2 Johor Darul Ta'zim
⚽ Corbin Ong 18', Fernando Forestieri 85'#LigaSuper2023#HariaPenangHaria#LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/YvSH8AxjA6
— Flash Sukan (@FlashSukan) June 3, 2023
Bermain dalam keadaan cuaca hujan sedikit menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan hingga berlaku beberapa bentesan keras yang memaksa pengadil perlawanan melayangkan kad amaran kepada pemain kedua-dua pasukan.
Skuad kendalian Esteban Solari memanfaatkan ‘set piece’ apabila Corbin Ong merembat kencang bola lantunan hasil sepakan percuma Leandro Velasquez untuk memberikan kelebihan awal buat JDT hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Jordi Amat terpaksa dikeluarkan dan digantikan dengan Shahrul Saad namun ianya tidak menjejaskan kekentalan barisan pertahanan JDT yang berjaya mengekang asakan Harimau Kumbang yang mahu mencari gol penyamaan.
Memasuki minit ke-80 keadaan sedikit tegang apabila berlaku percetusan antara pemain akibat terjahan keras tetapi dapat dikawal rakan-rakan sepasukan dan pengadil bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Fernando Forestieri meranapkan impian lebih 6 ribu penyokong Penang yang mahu menyaksikan kebangkitan apabila menyumbat gol kedua lima minit sebelum tamat untuk keputusan akhir 2-0 memihak kepada JDT.
Kemenangan ini meletakkan JDT kukuh di tangga teratas liga dengan 39 mata, sembilan mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Selangor FC dan bakal memulakan cabaran pusingan kedua dengan penuh bersemangat.