PASUKAN Sabah FC kelihatan agak bergelut mencari kecergasan perlawanan meskipun berjaya meraih kemenangan pertama dalam aksi Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) menewaskan Hougang United 2-1 di Stadium Likas pada Isnin.

Dua jaringan menerusi Stuart Wilkin dan Saddil Ramdani pada babak kedua sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri sekali gus meletakkan Sabah di tangga kedua liga kejohanan empat penjuru itu.

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan pemainnya agak keletihan dan situasi itu berikutan perlawanan berkenaan bukan sesuatu yang mudah bagi pasukannya selepas tidak bermain secara kompetitif selama kira-kira tiga bulan.

Datuk Ong Kim Swee (kanan) yakin pasukannya akan lebih bersedia dalam baki dua perlawanan Piala SMJ (kredit foto: Sabah FC)

“Ya pemain agak kepenatan di mana kita tahu kita tidak ada perlawanan kompetitif selepas bermain dengan Macarthur pada Februari lalu berbeza dengan pasukan lain yang sudah bermain banyak perlawanan persahabatan pramusim.

“Perlawanan ini adalah aksi kita yang pertama, jadi penting untuk kita bina semula kekuatan fizikal, kecergasan dan kombinasi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi itu, skuad The Rhinos hanya berjaya mencipta gol pertamanya pada minit ke-54 melalui Stuart Wilkin, namun berjaya disamakan Hougang United pada minit ke-70 melalui penyerangnya, Stjepan Plazonja.

Kedudukan semasa Piala SMJ selepas berakhir perlawanan pertama (kredit: Sabah FC)

Sabah bagaimanapun bernasib baik dapat menyumbat satu lagi gol menerusi Saddil Ramdani pada minit ke-74 untuk mengutip tiga mata penuh sebelum berhadapan Kuching City pada Rabu.

Namun begitu, Kim Swee kekal tenang dan menjangkakan anak-anak buahnya akan kembali ke corak permainan dan tahap kecergasan terbaik dalam baki dua perlawanan di Piala SMJ sebelum kempen Liga Malaysia 2024-2025 bermula pada 12 Mei 2024.