SATU perlawanan ujian telah diadakan antara skuad ragbi Bunga Raya 7 sebelah (7s) lelaki dan wanita bertemu dengan pasukan ragbi kebangsaan Singapura, pada Sabtu lalu.
Stadium Ragbi Johor yang menjadi tuan rumah buat aksi tersebut telah menyaksikan keputusan yang agak positif bagi pasukan Malaysia, sekali gus meningkatkan semangat pemain untuk bertarung di Kejohanan Ragbi Sea Sevens pada 2 dan 3 Mei depan.
Walau bagaimanapun, Pengurus skuad 7s lelaki negara, Che Mohd Zulkarnain masih belum berpuas hati sepenuhnya terhadap keputusan perlawanan Sabtu lalu, kerana beliau percaya pasukan Singapura telah ‘menyimpan kuku’ untuk perlawanan sebenar yang akan berlangsung nanti.

Barisan pemain skuad ragbi 7s lelaki, ketika bertemu pasukan Singapura tempoh hari.
“Pada aksi tersebut, kita hanya menurunkan pemain yang antaranya bukan pemain utama, jadi saya pasti Singapura juga melakukan hal yang sama.
“Jadi saya harap, berbaki seminggu lebih ini, kita dapat perbaiki lagi kelemahan yang telah kita kenal pasti, terutamanya daripada segi kekuatan dan kecergasan pemain.
“Walaupun terdapat sedikit kekangan kerana kita hanya dibenarkan untuk adakan sesi latihan berfasa (sehari sekali), dan tempoh itu tidak cukup untuk kita dapatkan formula yang kita mahu, tetapi kita akan cuba lakukan sehabis baik,” ujar Zulkarnain kepada FLASH SUKAN.

Pengurus pasukan mahu perbaiki lagi kekurangan untuk mempersiapkan pasukan sepenuhnya.
Skuad ragbi 7s lelaki berhasil menyamakan kedudukan dengan pihak lawan pada ujian perlawanan lalu, iaitu keputusan seri 12-12 telah dicatatkan antara Malaysia bertemu Singapura.
Kedua-dua pasukan ini akan membuat perhitungan sebenar dalam pentas Kejohanan Ragbi Sea Sevens, setelah diundi untuk berada dalam Kumpulan B, bersama-sama dengan Indonesia dan juga Thailand.