PENEMBAK negara, Johnathan Wong meletakkan emas sebagai keutamaan di Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Walaupun sedar cabaran getir menanti dengan dominasi kuat atlet Asia di pentas dunia, dia tetap optimis mampu mencipta kejayaan menerusi persiapan rapi.
“Kekuatan atlet Asia tidak dinafikan ketika mendominasi kejohanan dunia termasuk Olimpik,” katanya.
Namun, dia percaya peluang tetap ada sekiranya mampu mengekalkan konsistensi dan fokus dalam setiap kejohanan yang disertai.
Keyakinan itu disandarkan kepada pencapaian lalu termasuk kejayaan mara ke final Sukan Asia serta dua kali beraksi di pentas final Kejohanan Asia.
Sebagai persiapan, dia dijadual menyertai beberapa kejohanan bertaraf dunia termasuk Piala Dunia di Sepanyol, Berlin dan Munich sebagai medan menguji kemampuan.
Johnathan berharap siri pertandingan itu mampu membina momentum terbaik sekali gus merealisasikan impiannya untuk menghadiahkan emas di Sukan Asia.