JOHOR Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan 3-2 ke atas Pahang Rangers pada aksi kedua final Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Isnin.

Bagaimanapun kemenangan tersebut masih belum cukup untuk membawa mereka merangkul juara musim ini selepas tewas agregat 6-9 dengan Pahang Rangers.

Pada aksi separuh masa pertama menyaksikan skuad Harimau Selatan bermula garang dengan dua jaringan pantas menerusi Muhammad Saad Abdul Sani dan Awalluddin Mat Nawi.

Bagaimanapun, Pahang Rangers enggan menyerah apabila berjaya melakukan serangan bertali arus dan hasilnya penyerang sensasi Tok Gajah, Sergio Jamur berjaya menyamakan kedudukan 2-2 sekaligus menjadikan agregat 9-5 mengatasi Southern Tigers.

Babak kedua pula menyaksikan JDT berjaya menambah gol menerusi Danial Abdul Dain menyaksikan kedudukan berubah menjadi 3-2 namun segala-galanya masih belum cukup bagi mematahkan kubu pertahanan Pahang Rangers yang dilihat begitu berdisiplin mengekang asakan lawan.

Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Pahang Rangers melakar sejarah menggenggam kejuaraan musim ini.