DALAM era di mana kehadiran penyokong ke stadium sering dipersoal dan liga tempatan dikatakan nazak, kumpulan penyokong tegar Selangor FC, UltraSel membuktikan sebaliknya.
Berdasarkan data kasar yang dikongsikan, mereka telah membelanjakan lebih RM1.6 juta sepanjang musim 2024-2025 semata-mata untuk menyokong pasukan kesayangan dalam Liga Malaysia.
Perbelanjaan itu merangkumi tiket perlawanan, pas musim, pengangkutan, penginapan dan makanan satu jumlah yang besar bagi satu kelompok penyokong kecil.
Walaupun mungkin tampak kecil dalam skala ekonomi bola sepak negara, angka ini menjadi bukti bahawa liga masih bernyawa, disokong oleh denyutan semangat penyokong yang tidak pernah padam.
Lebih daripada sorakan dan laungan di dalam stadium, sumbangan ini adalah satu bentuk pelaburan emosi dan kewangan terhadap ekosistem bola sepak tempatan.
UltraSel mahu dunia tahu bahawa penyokong bukan sekadar pemerhati di kerusi penonton — mereka pemacu perubahan.
Angka ini bukan untuk dimegahkan, tetapi sebagai peringatan bahawa jika lebih ramai penyokong bangkit secara aktif, bukan sekadar di media sosial, budaya sokongan yang kukuh mampu menjadi tulang belakang kebangkitan bola sepak Malaysia.
Dalam waktu pasang surut prestasi dan pengurusan kelab, penyokong sejati terus berjalan bersama, membuktikan bahawa bola sepak bukan hanya soal keputusan di atas padang, tetapi juga solidariti dan pengorbanan luar padang.
PIX: FB ULTRASEL