PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee masih belum berpuas hati dengan cara permainan yang ditunjukkan anak-anak buahnya meskipun berjaya mencatat kemenangan 6-0 keatas kelab Singapura, Geylang International FC dalam aksi persahabatan pramusim pada Sabtu.

Jelas Kim Swee, beliau lebih mementingkan keserasian berbanding keputusan.

“Apa yang penting bukanlah keputusan tetapi keserasian antara pemain dengan cara permainan yang kita inginkan.

“Meskipun pemain menunjukkan aksi yang lebih baik berbanding ketika di Thailand tetapi masih banyak yang perlu dilakukan menjelang perlawanan pertama liga,” jelasnya selepas perlawanan.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 52 tahun itu menjelaskan kesemua pemain yang ada dalam skuad Sabah FC adalah penting dan mereka perlu menunjukkan prestasi yang seimbang kerana bakal menempuh musim yang panjang dalam Liga Malaysia dan juga Piala AFC.

“Saya juga tidak memikirkan hanya tentang kesebelasan utama sahaja tetapi kesemua pemain perlu ada prestasi yang seimbang kerana kita akan melalui musim yang panjang dan semua pemain dalam skuad ini adalah penting buat Sabah FC.

“Manakala slot import masih belum dikenalpasti dan kita perlu tunggu dan lihat serta perlu berbincang dengan pengurusan tentang apa perancangan mereka selepas ini. Kami masih mempunyai dua lagi perlawanan persahabatan sebelum memulakan aksi bertemu PDRM,” tambah Kim Swee.

Sementara itu pengendali Geylang International FC, Mohd Noor Ali pula berkata tiga perlawanan pramusim yang ditempuh di Malaysia adalah satu pendedahan yang bagus kepada para pemainnya yang rata-rata dibarisi pemain muda untuk dibawa pulang ke Singapura bagi menghadapi saingan liga.

“Apabila kami ke Malaysia untuk perlawanan pramusim ianya adalah untuk beri permainan yang lebih berintensiti tinggi kerana pasukan kami banyak pemain muda. Keputusan jatuh ke tempat kedua tetapi pendedahan itu yang penting dan bagi kami, Malaysia adalah negara yang sesuai untuk pramusim kerana mempunyai standard yang lebih tinggi berbanding Liga Singapura.

“Sabah adalah pasukan yang lebih baik jika dibandingkan dengan Penang FC dan Kedah Darul Aman FC kerana mereka mempunyai kesebelasan utama dan pasukan kedua yang baik. Untuk mengakhiri liga di tempat ketiga di belakang JDT dan Terengganu adalah pencapaian yang sangat baik dan ianya memberikan kami pengalaman berharga apabila menentang Sabah,” jelasnya.

Gol-gol Sabah dijaringkan oleh Gabriel Peres, Daniel Ting, Darren Lok serta Saddil Ramdhani dengan dua lagi gol disumbangkan oleh pemain veteran, Amri Yahyah pada penghujung permainan untuk memberikan keputusan yang menggembirakan ribuan penyokong yang hadir ke Stadium Likas.