PELBAGAI isu termasuk kajian semula terhadap sistem imbuhan pemain, dijangka akan dibincangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), 10 Mei ini.
Malah mesyuarat yang bakal menjadi medan pemilihan baharu jawatan kuasa tertinggi badan induk badminton negara itu juga, diharap lebih tegas dalam mengimbangi kebajikan pemain dan kebajikan badan induk itu sendiri.
Timbalan Presiden II BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, sudah tiba masanya untuk BAM mengekang sebarang usaha eksploitasi daripada mana-mana pihak.
“Akan ada barisan Exco dan saya harap mereka lebih tegas, mengimbangkan antara kebajikan pemain dan kebajikan BAM.
“Malah pada mesyuarat itu juga akan membincangkan isu seperti kajian semula imbuhan kepada pemain dan kita harap ia lebih kepada insentif – tidak boleh biarkan pemain menanam sikal eksploitasi,” kata Jahaberdeen, yang juga Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA), kepada Flash Sukan.
Apa dinyatakan beliau itu berdasarkan kebimbangan terhadap tren pemain negara yang ghairah mengejar pulangan kepada diri sendiri, sehingga melupakan sumbangan BAM sejak dari pembangunan lagi.
“Antara yang kita bimbang mereka lupa siapa yang menyiapkan mereka daripada bawah dan apabila sudah boleh bermain (ada nama), dengan mudah mahu menjadi pemain independent,” ujar Jahaberdeen, mengaitkan beberapa isu yang hangat diperkatakan di sosial media sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, sebagai pemain badminton, perlu ada semangat patriotisme tinggi dan perjuangan bukan untuk kepentingan diri semata-mata tetapi juga atas nama negara.