PEMAIN pertahanan, V. Ruventhiran sah menjadi rekrut baharu Selangor FC selepas bekas kelabnya, PJ City FC mengumumkan tidak lagi menyertai Liga Malaysia bermula pada musim 2023.

Ruventhiran kini adalah prospek hangat di kalangan pemain muda dan dia kini berjaya menempatkan diri dalam senarai akhir 23 pemain Harimau Malaya ke Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di bawah kendalian Kim Pan Gon.

Berusia 21 tahun, pemain kelahiran Selangor ini berjaya diberikan peluang menunjukkan bakatnya oleh P.Maniam yang sering membariskan Ruventhiran dalam kesebelasan utama PJ City dalam Liga Super.

 

Kemasukan Ruventhiran ke Selangor FC pastinya akan menambah lagi pilihan pemain oleh pengendali, Tan Cheng Hoe di barisan pertahanan dengan kebanyakan dari mereka kini adalah pemain pertahanan kebangsaan.

Selangor FC menerusi laman sosial rasmi mereka turut mengumumkan mengekalkan sebilangan besar pemain yang beraksi di musim 2022 sekaligus membentuk skuad yang mantap untuk menghadapi musim 2023.

Gergasi Merah turut mengekalkan empat pemain antarabangsa dengan Yazan Al Arab, Alex Agyarkwa, Richmond Ankrah dan Hein Htet Aung yang telah menampilkan aksi baik hingga berjaya muncul naib juara Piala Malaysia.

Untuk rekod, Ruventhiran membuat 16 penampilan ketika bersama PJ City FC dan berjaya melakukan tiga penampilan bersama skuad kebangsaan B23 tahun dan kini mengumpul tiga kaps bersama skuad kebangsaan. Selamat maju jaya Ruventhiran.