PEMAIN tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim kini menjadi sasaran terbaharu individu tidak dikenali apabila keretanya diserang berhampiran Pusat Latihan JDT pada malam Selasa.
Bekas pemain kebangsaan itu memuat naik hantaran di laman sosial peribadinya yang menunjukkan cermin belakang kenderaannya pecah diserang serta laporan polis yang telah dibuat untuk melindungi dirinya.
Safiq Rahim dilaporkan telah diserang berdekatan pusat Latihan JDT. Keretanya dipukul menggunakan tukul besi oleh dua lelaki, menaiki motosikal. pic.twitter.com/qPhdr8sbl7
— Flash Sukan (@FlashSukan) May 7, 2024
Kes ini adalah kes ketiga melibatkan pemain bola sepak tempatan dalam masa satu minggu selepas Akhyar Rashid dipukul dan disamun serta Faisal Halim yang disimbah asid hingga mendatangkan kecederaan yang teruk.
JDT pantas mengeluarkan kenyataan media yang menyeru pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk segera melakukan siasatan terhadap perkara yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) risau dengan insiden yang melibatkan Safiq Rahim di mana kereta beliau telah diserang berhampiran Pusat Latihan JDT malam tadi.
“Kami menggesa Polis DiRaja Malaysia menyiasat perkara ini dengan segera.
“Insiden itu, bersama dengan serangan ke atas Akhyar Rashid dan Faisal Halim baru-baru ini, tidak mempunyai tempat dalam dunia bola sepak. Disebabkan kes-kes terkini, JDT telah meningkatkan lagi keselamatan para pemain kami sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kami juga telah menasihatkan para pemain kami untuk berhati-hati dengan persekitaran dan hantaran-hantaran mereka pada media sosial pada setiap masa” tulis kenyataan media itu.
Serangan terbaharu ini menjadikan semua pemain perlu lebih berhati-hati kerana motif utama serangan masih menjadi tanda tanya.