SELANGOR FC kembali menceriakan penyokong tuan rumah apabila berjaya mencatat kemenangan 2-0 menewaskan Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2022.

Aksi separuh masa pertama bermula rancak dengan Gergasi Merah acap kali memberi ancaman ke kubu pertahanan Negeri Sembilan FC.

Peluang terbaik Selangor FC hadir pada minit ke-25 setelah Hein Htet Aung bijak melorongkan bola untuk Herlison Caion de Souza melakukan tandukan tipis.

Tandukan tersebut bagaimanapun cemerlang diselamatkan penjaga gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Minit ke-32, sentuhan lembut Brendan Gan Seng Ling hampir menerjah jaring namun sedikit melencong ke bahagian kiri gawang Negeri Sembilan FC.

Larian solo Hein Htet Aung pada minit-minit akhir babak pertama sekali lagi mencemaskan pintu gol Negeri Sembilan FC namun rembatan pemain import Myanmar itu ditepis kemas Syihan Hazmi.

Sebermulanya separuh masa kedua, Herlison Caion de Souza memecah kebuntuan pasukan Selangor FC pada minit ke 56 setelah menyumbat masuk gol pertama hasil sepakan penalti setelah Herold Mark Goulon melakukan kekasaran terhadap Sharul Nazeem Zulpakar.

Bola kawalan Sharul Nazeem didapati terkena tangan pertahanan Negeri Sembilan itu menyebabkan dia dilayangkan kad merah dan terpaksa keluar padang.

Gol kedua tuan rumah hadir pada masa tambahan babak kedua sekaligus menyaksikan Gergasi Merah berjaya membawa bekalan selesa ke Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi Sabtu depan.

Aksi malam ini nyata dikawal sepenuhnya Selangor FC dengan 23 peluang yang berjaya dicipta di hadapan pintu gol namun sentuhan penyudah yang kurang berkesan menyaksikan hanya satu gol berjaya dibawa pulang Gergasi Merah.