SUKAN bola sepak kebangsaan menyaksikan dua legenda negara, Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan kini masing-masing menjawat jawatan penting dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk penggal 2025-2029.
Ini selepas kedua-dua bekas pemain kebangsaan itu terpilih menerusi undian ketika Kongres Tahunan FAM ke-61 2025 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Subang Jaya pada Sabtu.
Dollah yang juga pengurus pasukan Sri Pahang FC terpilih untuk menjawat salah satu kerusi Naib Presiden FAM bersama-sama tiga lagi calon, Datuk Seri Rosmadi Ismail, Saaran A/L Nadarajah dan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.
Sementara itu, penasihat Imigresen FC, Zainal Abidin pula dipilih sebagai salah seorang dari lapan Exco FAM yang akan menggalas tugasan masing-masing selama lima tahun di bawah kepimpinan presiden baharu, Datuk Joehari Ayub.
Kehadiran dua bekas pemain bola sepak itu dilihat sebagai satu pembaharuan dalam barisan eksekutif kali ini dan mereka dijangka akan diberikan portfolio yang bakal ditentukan dalam masa terdekat selepas ini.
Menambah kemantapan barisan Eksekutif FAM kali ini, ia turut disertai Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim yang berjaya dipilih sebagai salah seorang exco.
Perkara ini dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana ianya akan membawa suara dari persatuan negeri dan kelab-kelab yang bertanding dan dilihat boleh memberikan input lebih bernilai buat semua pemegang taruh bola sepak.
Dalam kongres yang sama, FAM menyaksikan pertukaran tampuk kepimpinan dengan Datuk Joehari Ayub mengambil alih tugas presiden daripada Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatannya.
Sementara dua jawatan Timbalan Presiden kekal menjadi milik Datuk Yusoff Mahadi dan Datuk S.Sivasundaram serta exco wanita juga tidak menyaksikan perubahan dengan Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah dan Datuk Suraya Yaacob mengekalkan jawatan.