SUASANA ceria dengan penuh gelak tawa menerbitkan pemandangan positif dalam kem latihan skuad kebangsaan di Stadium Mini Al Khoud, Muscat, dua hari menjelang aksi penting menentang Oman di Stadium Kompleks Sukan Sultan Qaboos.

Semua pemain kelihatan bersemangat menjalani latihan, masing-masing mengikuti arahan barisan kejurulatihan dan kelihatan sudah membiasakan diri dengan corak latihan berintensiti tinggi yang diterapkan.

Barisan kejurulatihan juga turut kelihatan tenang seakan sudah mendapat formula terbaik yang bakal digunakan pada Khamis ini, manakala Kketua Jurulatih, Kim Pan-gon juga kelihatan bersedia mencatur taktikal dibantu Pau Marti.

Pemain kelihatan ceria menjalani latihan

Suasana gembira ini sememangnya sangat baik buat skuad kebangsaan yang sebelum ini dibelenggu masalah kecergasan pemain ekoran ketiadaan perlawanan kompetitif akibat perubahan jadual Liga Malaysia musim 2024-25.

Kesemua pemain sedar akan peranan masing-masing dan betapa pentingnya dua perlawanan menentang Oman ini untuk mencorak sejarah baharu layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan menempah tempat di Piala Asia 2027 yang berlangsung di Arab Saudi.

Dari segi komunikasi antara para pemain juga jelas kelihatan dengan masing-masing sudah memahami setiap seorang termasuk empat pemain Bawah 23 Tahun ditambah pemain naturalisasi serta warisan.

Keharmonian dalam pasukan diharap dapat diterjemahkan ketika aksi di dalam padang

Temubual dengan beberapa pemain juga jelas menyatakan mereka gembira menjadi sebahagian daripada skuad ini dan mahu memberikan aksi terbaik demi membawa Harimau Malaya melangkah lebih jauh dan menggembirakan hati rakyat Malaysia.

Aura positif ini diharap dapat dikekalkan sehingga hari perlawanan, dengan sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan D.