ISU konsistensi dan kelemahan ketika servis menjadi punca utama kejatuhan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas tewas kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Tsuet 17-21, 21-17, 10-21.

Tang Jie mengakui kegagalan mengawal situasi serangan pada awal set penentuan membuka ruang jurang mata melebar sebaik melepasi interval.

Menurutnya, aspek servis dan menerima servis menjadi faktor paling ketara yang menjejaskan aliran permainan gandingan negara.

Ee Wei pula mengakui pengalaman lawan terserlah apabila mereka pantas menukar strategi yang gagal dibaca dengan cepat oleh mereka.

Kebangkitan bertenaga pada set kedua menyuntik keyakinan, namun momentum itu tidak mampu dikekalkan apabila tekanan meningkat di set penentuan.

“Kami memang kecewa dan perlu kaji semula apa yang menyebabkan kekalahan ini,” kata Ee Wei sambil menghargai sokongan padu penyokong di Axiata Arena.

Tang Jie menegaskan fokus kini beralih ke Terbuka India dengan komitmen untuk memperbaiki kelemahan servis dan konsistensi demi kebangkitan lebih meyakinkan.