KEBIJAKSANAAN Kim Won Ho-Seo Seung Jae menukar rentak permainan pada saat kritikal, memerangkap Man Wei Chong-Tee Kai Wun sehingga beregu negara itu akur tewas kepada gandingan Korea Selatan berkenaan.

Pada awal perlawanan, Wei Chong-Kai Wun tampak selesa mendahului dengan permainan pantas, namun situasi berubah apabila lawan berani memperlahankan tempo dan mematahkan serangan satu demi satu.

“Mula-mula mereka ikut rentak laju kita, tetapi selepas itu mereka tukar strategi, main lebih perlahan dan tahan kita,” kata Kai Wun.

Menurutnya, keraguan untuk mengambil mata pada hujung perlawanan membuka ruang kepada kesilapan sendiri yang akhirnya memakan diri sehingga tunduk 17-21, 14-21 dalam masa 41 minit.

Wei Chong pula mengakui perubahan rentak selepas melepasi mata ke-11 hingga 15 menyukarkan mereka untuk kembali mengejar momentum.

Mengulas rekod pertemuan yang terus memihak kepada Korea (6-0), Kai Wun mengakui keyakinan sedikit terjejas namun percaya peluang tetap ada jika mampu memanfaatkan ruang yang terhidang.