BEKAS jurulatih kebangsaan Indonesia, Shin Tae Yong, dipecat oleh kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai yang hanya 65 hari memegang tugas selepas rekod hambar yang gagal memenuhi jangkaan tinggi pemilik kelab.
Dalam tempoh itu, prestasi Ulsan di liga sangat mengecewakan dengan hanya 1 kemenangan, 3 seri, dan 4 kekalahan ketika beraksi di K League manakala dalam saingan AFC Champions League Elite, kelab itu hanya memperoleh 1 kemenangan dan 1 seri.
Menurut laporan Korea JoongAng Daily, pemecatan ini turut disertai peletakan jawatan CEO kelab, Kim Gwang-guk sebagai langkah bertanggungjawab atas kegagalan keseluruhan pasukan.
Kelab itu kini gagal menembusi kelompok teratas liga (Final A) dan terpaksa beraksi di peringkat Final B, di mana risiko penyingkiran semakin menghantui jika prestasi tidak dipulihkan.
Roh Sang-rae, pengarah pembangunan remaja kelab, kini dilantik sebagai jurulatih interim bagi menyelamatkan musim Ulsan.
Bagi Shin, pemecatan ini menjadi detik pahit dalam perjalanan kariernya, pernah menikmati kejayaan bersama Korea Selatan dan Indonesia, namun di Ulsan, harapan tinggi dan tekanan besar membuat segalanya berakhir terlalu cepat.
Kini, tumpuan Ulsan ialah mencari pengganti tetap yang mampu menghidupkan kembali reputasi sebagai kuasa besar dalam K League.
Kredit Gambar : Linked In