HASRAT beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin beraksi dalam siri jelajah Eropah bulan ini berkubur selepas Su Yin disahkan belum pulih daripada kecederaan buku lali.
Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengesahkan pasangan ranking ke-19 dunia itu terpaksa menarik diri daripada tiga kejohanan utama – Terbuka Denmark, Perancis dan Hylo di Jerman.
“Pang Ron-Su Yin tidak jadi berangkat ke Eropah kerana Su Yin mengalami kecederaan di bahagian buku lali,” katanya selepas majlis penyampaian insentif pemenang pingat Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto turut mengesahkan Toh Ee Wei pulih sepenuhnya dan akan bergandingan semula dengan Chen Tang Jie di Terbuka Denmark minggu hadapan.
Menurut Nova, gandingan itu dijangka kembali ke gelanggang di Kumamoto Masters di Jepun bermula 11 November, bergantung kepada tahap pemulihan sepenuhnya Su Yin.
“Dalam empat hingga lima minggu baru pulih mengikut laporan doktor, jadi mereka mungkin kembali beraksi di Kumamoto Masters kalau sudah baik sepenuhnya,” jelasnya.
Ini bukan kali pertama Su Yin diuji kecederaan, apabila sebelum ini dia berehat panjang akibat masalah hamstring selepas aksi Terbuka Thailand pada Mei lalu.
Kecederaan berulang itu turut menyebabkan mereka menarik diri di beberapa kejohanan penting termasuk Malaysia Masters, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia, sekali gus menjejaskan momentum gandingan muda negara itu.