KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Clamovski tampil mempertahankan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dengan menegaskan bahawa segala “kekecohan” yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berpunca daripada badan induk itu sendiri, bukannya TMJ.
Jurulatih kelahiran Australia itu berkata demikian selepas kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Laos dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Vientiane malam tadi, sambil mendedahkan bahawa TMJ merupakan individu yang memainkan peranan penting mendapatkan dana daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pembangunan bola sepak negara.
“Siapa yang dapat dana dan sokongan daripada Perdana Menteri? TMJ, bukan FAM. Siapa yang urus penerbangan sewaan, pastikan pasukan bersedia secara profesional dan urus logistik kami? TMJ. Sokongan yang beliau berikan amat besar,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Tegas Clamovski, segala isu dan kesilapan yang menyebabkan FIFA mengenakan sekatan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan baru-baru ini bukanlah tanggungjawab TMJ.
“Semua kekacauan dengan FIFA, kesilapan pentadbiran itu FAM, bukan TMJ. Tanpa TMJ, bola sepak Malaysia sudah lama berakhir,” tegasnya.
Kenyataan Clamovski hadir ketika FAM berdepan krisis besar selepas FIFA mendakwa badan itu menyerahkan dokumen dipalsukan bagi tujuh pemain warisan sebelum aksi menentang Vietnam pada Jun lalu. Tujuh pemain berkenaan kini digantung selama 12 bulan, manakala FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (lebih RM1.8 juta).