RATU skuasy negara, S. Sivasangari menambah satu lagi pencapaian gemilang dalam kariernya apabila merangkul kejuaraan bertaraf emas kedua selepas menjuarai Australian Open (squasy) di Brisbane, hari ini.
Pemain nombor enam dunia itu menampilkan aksi dominan apabila menewaskan pilihan ketujuh dari Amerika Syarikat, Marina Stefanoni, menerusi kemenangan straight set 11-7, 11-4, 11-8 dalam tempoh hanya 28 minit.
Sebagai pilihan utama kejohanan, Sivasangari memulakan aksi dengan cukup agresif apabila pantas mendahului 6-1 hasil pukulan menyerang tepat yang menyukarkan Stefanoni menyesuaikan rentak permainan.
Stefanoni yang juga pemain nombor 19 dunia cuba bangkit dengan merapatkan jurang kepada 8-7 pada set pertama, namun Sivasangari kekal tenang sebelum memungut tiga mata berturut-turut untuk mendahului perlawanan.
Momentum itu diteruskan pada set kedua apabila pemain negara itu sekali lagi memulakan aksi dengan cemerlang untuk membuka kelebihan 6-0 sebelum menutup set berkenaan dengan kemenangan selesa 11-4.
Walaupun Stefanoni cuba memberi tentangan pada set ketiga dengan meraih beberapa mata penting untuk merapatkan kedudukan kepada 10-8, Sivasangari tetap mengekalkan fokus bagi menamatkan perlawanan dan menjulang kejuaraan.
Kemenangan itu menyaksikan pemain berusia 26 tahun berkenaan meraih gelaran pertama Skuasy Jelajah PSA 2025/2026 serta kejuaraan ke-16 sepanjang karier profesionalnya.
“Saya sangat gembira dengan cara saya bermain minggu ini dan walaupun datang sebagai pilihan utama yang jarang berlaku di kejohanan Gold, saya cuba kekal tenang serta fokus kepada permainan sendiri untuk memastikan kemenangan,” kata Sivasangari.