Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi mengukuhkan dominasi mereka dalam bola sepak tempatan apabila mengesahkan kejuaraan Liga Super Malaysia buat kali ke-12 berturut-turut selepas menewaskan Brunei DPMM FC 3-0 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Skuad kendalian Xisco Munoz hanya memerlukan satu kemenangan untuk memastikan kejuaraan liga menjadi milik mereka, manakala tuan rumah berharap dapat menangguhkan keraian Harimau Selatan di laman sendiri.

JDT hampir membuka tirai jaringan lebih awal pada separuh masa pertama menerusi percubaan Ajdin Mujagic dan Antonio Glauder, namun kedua-dua gol tersebut dibatalkan selepas semakan VAR mengesahkan kedudukan ofsaid.

Namun, jaringan yang dicari akhirnya tiba pada minit ke-33 apabila sepakan percuma Ager Aketxe tepat ke penjuru atas gawang lawan sekali gus meletakkan JDT di hadapan sebelum rehat.

Memasuki babak kedua, JDT menggandakan asakan dan hasilnya Oscar Arribas berjaya menambah jaringan pada minit ke-74 untuk memberi kelebihan dua gol kepada pelawat.

Tidak lama kemudian, Marcos Guilherme melengkapkan kemenangan selesa JDT apabila meledak gol ketiga menerusi rembatan jarak jauh sekali gus menjadikan kedudukan 3-0 berpihak kepada Harimau Selatan.

Keadaan bertambah sukar buat DPMM apabila pemain mereka, Fairuz Zakaria dilayangkan kad merah yang memaksa pasukan itu mengharungi baki perlawanan dengan 10 pemain.

Kemenangan tersebut bukan sahaja mengesahkan kejuaraan liga buat JDT, malah menjadi trofi ketiga pasukan itu musim ini selepas menjuarai Piala Sumbangsih dan Piala FA, selain memastikan kelab itu layak secara merit ke AFC Champions League Elite musim hadapan sebagai juara liga.