PENGENDALI Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail menyifatkan kekalahan 0-1 kepada Kuching City FC sebagai satu pengajaran pahit buat pasukannya selepas dihukum akibat kesilapan mudah dalam perlawanan tersebut.
Jurulatih berusia 50 tahun itu mengakui kecewa dengan kegagalan barisan pemainnya memanfaatkan beberapa peluang terbaik yang terhidang untuk sekurang-kurangnya mendapatkan gol penyamaan.
“Memang saya kecewa dengan deretan peluang yang gagal disudahkan pemain dan gol yang kita bagi adalah ‘kesilapan budak sekolah’. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana ini adalah bola sepak tahap tinggi.
“Pemain perlu lebih tajam di depan gol lawan dan lebih tenang ketika mengawal bola di kawasan sendiri. Bagi saya, kelemahan ini yang menghukum kami,” katanya selepas perlawanan di Stadium Bandaraya malam tadi.
Walaupun tewas, Wan Rohaimi tetap memuji karakter yang dipamerkan anak buahnya terutama pada separuh masa pertama apabila mereka menunjukkan kesungguhan, keberanian serta semangat juang tinggi sepanjang permainan.
Namun beliau menegaskan masih banyak aspek yang perlu diperbaiki bagi memastikan kesilapan kecil seperti itu tidak berulang pada perlawanan akan datang.
Menurutnya, perhatian terhadap perincian kecil amat penting kerana perkara yang dianggap remeh oleh pemain boleh memberi kesan besar terhadap keputusan perlawanan.
Tambahnya, pasukan perlu segera memperkemaskan beberapa aspek permainan menjelang aksi penting final Piala Cabaran yang dijadual berlangsung bulan depan.
Sumber Gambar: BERNAMA