SKUAD Young Tigers sekali lagi terpaksa berputih mata untuk merebut podium di Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 apabila tewas tipis 1-2 kepada India dalam aksi terakhir round robin.

India yang juga merupakan pasukan ranking no 2 dunia bagi hoki remaja lelaki mendahului perlawanan pada minit ke-22 hasil pukulan sudut penalti Gurjot Singh.

Malaysia menyamakan kedudukan pada minit ke-43 apabila Naaveenesh Panicker menjaringkan gol padang selepas menerima bola hantaran oleh Danish Aiman.

Pasukan India kini menduduki ranking no 2 dunia bagi hoki remaja lelaki.

Rosan Kujur menjadi hero buat India apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-48 menerusi pukulan sudut penalti.

Menurut pengendali Young Tigers, Nor Saiful Zaini berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh para pemain menentang India tadi.

“Dengan taktikal yang kami terapkan, kami dapat menyekat kemaraan pemain-pemain India dan berjaya untuk menembusi benteng pertahanan mereka dan menghasilkan banyak peluang.

Skuad Young Tigers mempunyai beberapa peluang untuk menghasilkan gol namun gagal untuk menembusi gawang gol India

 

“Secara keseluruhan saya rasa persembahan kita (dalam perlawanan ini) sangat baik, cuma kami tidak dapat untuk menterjemahkan peluang-peluang kepada gol,” katanya selepas perlawanan.

Malaysia berkemungkinan besar akan bertemu New Zealand dalam perlawanan penentuan tempat ke-5/6 esok jam 3.35 petang manakala India akan bertemu Australia dalam aksi akhir SOJC 2025 pada jam 8.35 malam.