PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) membuat andaian bahawa aduan berhubung status tujuh pemain warisan yang dikemukakan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dipercayai dibuat oleh seorang individu daripada Vietnam.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundram berkata, pihaknya difahamkan laporan itu diterima oleh FIFA pada 11 Jun lalu daripada seorang individu yang mempersoalkan kesahihan dokumen pemain terbabit.
“Kami percaya bahawa laporan dibuat kepada FIFA adalah individu daripada Vietnam,” katanya ketika sidang media di Wisma FAM, hari ini.

Namun, apabila ditanya semula, beliau menjelaskan bahawa kenyataan mengenai individu terbabit berasal dari Vietnam hanya berdasarkan andaian dan tidak dapat disahkan secara rasmi.
Sementara itu, FAM memaklumkan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi menyiasat punca isu berkenaan bagi meneliti semula proses pengurusan dokumen pemain dan mengenal pasti punca kesilapan yang berlaku.
FAM menegaskan bahawa pihaknya sudah memfailkan rayuan rasmi kepada FIFA pada 14 Oktober berhubung keputusan denda dan penggantungan pemain terbabit, dan kini menunggu keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.