PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bebas bagi menyiasat isu tujuh pemain warisan yang digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan dakwaan pemalsuan dokumen seperti dicadangkan bekas Exco FAM, Dato Christopher Raj ketika ditemubual bersama Astro Arena minggu lalu.

Timbalan Presiden FAM, S. Sivasundaram berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil tanpa sebarang campur tangan dalaman, sekali gus membolehkan pihak yang bertanggungjawab dikenal pasti dengan jelas.

“Berhubung isu tujuh pemain warisan negara, FAM bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa bebas untuk menyiasat. Kami mahu siasatan dijalankan secara telus. Biar jawatankuasa tentukan apa yang silap,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Robert Douglas Friend, serta peguam bela FAM, Serge Vittoz.

Pada 26 September lalu, FIFA mengenakan hukuman denda dan penggantungan terhadap FAM serta tujuh pemain warisan selepas mendapati terdapat unsur pemalsuan dokumen bagi membuktikan hubungan darah dengan Malaysia — satu isu yang telah mencalarkan imej bola sepak negara di pentas antarabangsa.

Sivasundaram menegaskan bahawa langkah menubuhkan jawatankuasa bebas ini merupakan sebahagian daripada usaha FAM untuk memulihkan keyakinan penyokong dan memastikan kes seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.

Dalam pada itu, peguam FAM, Serge Vittoz memaklumkan bahawa keputusan berhubung rayuan FAM kepada FIFA dijangka diketahui pada 30 Oktober ini.

“Rayuan telah dibuat pada 15 Oktober. Jawatankuasa Rayuan FIFA akan membuat keputusan pada 30 Oktober ini. Hasil keputusannya akan diberitahu pada hari yang sama atau pada hari berikutnya,” katanya.

Langkah berani FAM menubuhkan jawatankuasa bebas ini dilihat sebagai titik permulaan penting dalam usaha memulihkan maruah bola sepak Malaysia selepas tempoh penuh kontroversi yang menggugat kredibiliti institusi sukan itu.