📸 : Pahang Media

STADIUM Darul Makmur, Kuantan kini berwajah baharu dan kelihatan lebih segar apabila kerja naik taraf selesai selepas kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM14.5 juta bagi membiayai kemudahan fasiliti sukan di negeri Pahang dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMK-12).

Antara kerja-kerja naik taraf yang dilakukan adalah penggantian trek sintetik, penukaran bangku di tempat duduk utama stadium dan jaring di kawasan bumbung stadium turut dilakukan bagi memastikan ianya memenuhi piawaian antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut berada di Kuantan menyatakan salah satu projek infrasruktur yang terlibat adalah Kerja-kerja Naiktaraf dan Baikpulih Trek Sintetik Stadium Darul Makmur yang menjadi pusat tumpuan utama di negeri Pahang bagi penganjuran sukan terutama dalam acara olahraga.

“Projek yang menelan belanja RM5 juta ini telah diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang dan dibantu oleh agensi yang berkaitan di mana ianya telah sempurna disiapkan pada 29 Disember 2023.

“Antara skop kerja yang dilaksanakan dalam projek ini adalah menggantikan trek sintetik yang lama kepada trek sintetik yang baru jenis Full PU Kelas 2, Kategori 5 yang lebih berkualiti mengikut piawaian antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Siap Kerja Trek Sintetik Stadium Darul Makmur pada Rabu.

Hannah turut berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa mengambil berat mengenai infrastruktur fasiliti sukan yang berada di setiap negeri dengan menyalurkan peruntukan kecil bagi kerja pembaikan dan keperluan yang berkaitan.

Selain itu Hannah juga menyarankan kepada Perbadanan Stadium Negeri agar mereka bergiat cergas mencari dana bagi menyelenggara fasiliti stadium dan tidak bergantung kepada pihak Kerajaan semata-mata.

“Kita juga ada Perbadanan Stadium Malaysia yang kita ada di Bukit Jalil dan seperti agensi dan GLC, masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk mencari dana untuk bantu kerajaan dan bukan bergantung kepada Kerajaan sama ada Kerajaan Persekutuan atau dalam kes ini Kerajaan Negeri untuk berikan dana,” jelasnya.

Disamping itu, Hannah juga turut menyarankan kepada kerajaan negeri Pahang supaya mengambil Geran Penambahbaikan Saliran dan Penanaman Rumput yang ditawarkan KBS bagi memastikan keadaan permukaan padang di stadium itu sentiasa baik dalam apa jua keadaan cuaca.