GOH Jin Wei yakin, ranking rendah perseorangan wanita negara bukan ukuran tepat untuk menidakkan kemampuan pasukan ketika berdepan Thailand pada perlawanan terakhir kumpulan Y, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, esok.

Gembira dapat kembali menyertai acara berpasukan wanita, Jin Wei berkata, Malaysia hadir ke kejohanan ini sebagai ‘underdog’ tidak perlu gementar menghadapi mana-mana lawan.

“Berdepan Thailand nanti, kita pasukan ‘underdog’ dan tiada apa yang merugikan, nothing to lose, just fight and see what we can do,” kata Jin Wei.

Dia yang menyertai kem latihan dalam tempoh singkat kerana kurang sihat, melihat perkembangan positif pemain perseorangan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), sekali gus menerbitkan harapan untuk Malaysia beraksi baik, apa lagi sudah mengesahkan tempat ke suku akhir, selepas menewaskan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Ranking rendah juga boleh mengejutkan tetapi seperti saya, ranking terlalu rendah dan untuk diri saya, jika diturunkan akan berjuang.

“Apapun, saya sendiri perlu buktikan kepada diri sendiri dahulu bahawa saya boleh melakukannya.”

Jika diturunkan menentang Thailand, Jin Wei pemain nombor 31 dunia, bakal menjadi perseorangan pertama dan bakal menentang pemain ranking tertinggi Thailand, Supanida Katethong (17).

Berdasarkan rekod pertemuan, Jin Wei memiliki kelebihan 2-1 ke atas Supanida, namun jika Thailand menurunkan Busanan Ongbamrungphan (18) sebagai perseorangan pertama, Jin Wei tewas semua tiga pertemuan sebelum ini.