Select Page

PSM masih menanti penyertaan Labuan dan Putrajaya

PSM masih menanti penyertaan Labuan dan Putrajaya

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) semakin mengukuhkan posisi mereka selaku badan induk sukan sepak takraw negara, apabila hampir semua persatuan negeri bertaut kembali.

Terkini, PSM menerima surat permohonan daripada Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) yang ingin kembali bertaut di bawah badan induk itu.

Perkara itu dimaklumkan Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan namun pengesahan rasmi PSS menyertai PSM hanya akan diputuskan dalam satu mesyuarat jawatankuasa tertinggi badan induk berkenaan yang akan datang.

“Sarawak yang terkini, sudah menghantar surat kepada kita. Cuma secara rasmi belum kerana kita kena putuskan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi PSM yang akan datang untuk kita sahkan,” kata Sumali.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan

Begitupun, selepas Perlis membuat keputusan untuk kembali bersama PSM, MASTAF berada dalam situasi sukar sehingga menjurus kepada pembubaran badan induk berkenaan, hanya kurang beberapa jam selepas persatuan dari utara tanah air itu mengumumkan menyertai semula PSM.

MASTAF membubarkan kewujudan mereka baru-baru ini.

Selangor terlebih dulu membuat keputusan untuk kembali bersama PSM selepas pembubaran berkenaan.

“Sarawak dan Selangor sudah masuk (PSM). Tinggal Putrajaya dan Labuan saja lagi,” kata Sumali yang pada masa ini masih menunggu jawapan balas daripada Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) bagi mendapatkan semula pengiktirafan kedua-dua badan induk antarabangsa itu.

“Sedang menunggu jawapan daripada ASTAF dan ISTAF. PSM sudah lama memohon dan ada beberapa dokumentasi yang sebelum ini tidak lengkap, juga sudah kita lengkapkan dan hantar.

“Saya berkomunikasi dengan Datuk Abdul Halim Kader (Presiden ASTAF dan Setiausaha Agung ISTAF). Apapun, kita serahkan kepada ASTAF dan ISTAF, buat masa ini kita masih berjalan seperti biasa dan menunggu pengiktirafan daripada ASTAF dan ISTAF,” ujarnya.

Video Terkini

Loading...