Malaysia’s Goh Sze Fei and Nur Izzuddin pose during the medal ceremony after winning their men’s doubles final match against Indonesia’s Raymond Indra and Nikolaus Joaquin at the Indonesia Open badminton tournament in Jakarta on June 7, 2026. (Photo by BAY ISMOYO / AFP)

KEJAYAAN pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjuarai Terbuka Indonesia 2026 bukan sahaja menambah koleksi kejuaraan mereka, malah mencipta satu lagi sejarah baharu dalam badminton Malaysia.

Kemenangan di Jakarta itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin muncul pemain Malaysia pertama yang berjaya memenangi dua gelaran kejohanan bertaraf Super 1000 dalam era Jelajah Dunia BWF.

Sebelum ini, pasangan nombor satu dunia itu turut mencipta sensasi apabila menjuarai Terbuka China 2024, sekali gus menjadikan Terbuka Indonesia 2026 sebagai gelaran Super 1000 kedua dalam karier mereka.

Pencapaian itu memadam rekod terdahulu yang menyaksikan hanya dua wakil Malaysia pernah bergelar juara Super 1000, namun masing-masing hanya melakukannya sekali.

Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menjadi rakyat Malaysia pertama menjulang gelaran Super 1000 selepas menjuarai All England 2021, manakala Sze Fei-Izzuddin melakar sejarah baharu dengan menjadi pemain Malaysia pertama meraih dua kejuaraan dalam kategori tertinggi Jelajah Dunia BWF itu.

Lebih manis, pencapaian tersebut hadir ketika pasangan negara itu terus menunjukkan konsistensi luar biasa sepanjang musim 2026 dan mengukuhkan status mereka sebagai antara beregu terbaik dunia.

Kejayaan di Istora Senayan turut mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam arena badminton antarabangsa, selain membuktikan kemampuan Sze Fei-Izzuddin untuk terus bersaing di pentas tertinggi menjelang kejohanan-kejohanan utama yang bakal berlangsung selepas ini.