Pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei disahkan akan menyertai kem latihan pusat di Herning, Denmark selepas diberikan tempoh oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mendapatkan nasihat perubatan serta memastikan keperluan rawatan mencukupi.
Setiausaha Agung BAM, Kenny Goh berkata keputusan itu dibuat selepas pemain berkenaan sebelum ini memaklumkan kemungkinan sukar menyertai kem latihan pada peringkat awal disebabkan faktor kesihatan.
Menurutnya, BAM memberi masa kepada pemain ranking ke-51 dunia itu untuk membuat keputusan muktamad sebelum akhirnya bersetuju menyertai kem latihan penting menjelang Piala Uber.
“Kami memberi masa sehingga hari ini (senalam) untuk keputusan akhir dan dia bersetuju untuk hadir. Kem di Herning adalah wajib untuk semua pemain yang dipilih,” katanya.
Kem latihan selama 10 hari itu merupakan komponen penting dalam persiapan akhir skuad negara bagi menghadapi kejohanan Piala Uber yang dijadual berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei ini.
Terdahulu, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen menegaskan tempat Jin Wei dalam skuad masih belum dimuktamadkan walaupun pemain itu bersetuju menyertai kem latihan berkenaan.
Penyertaan Jin Wei dalam kem tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam menilai tahap kecergasan serta kesediaannya sebelum keputusan akhir mengenai pemilihan pasukan dibuat.