SUDAH banyak terlepas pusingan kelayakan Olimpik Paris 2024, jaguh ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil menjelaskan, dia tidak sempat lagi mengumpul mata sehingga terpaksa menolak untuk berada dalam program Road to Gold (RTG).
Qabil yang mencipta sejarah di Temasya Sukan Asia di Hangzhou, China bulan lalu dengan memenangi pingat emas pertama negara dalam acara dressage individu, mengakui kesuntukan masa dan kos tinggi acara sukan berkuda menghalangnya untuk menjelajah menyertai pertandingan kelayakan.
Justeru, katanya dia memutuskan untuk fokus kepada Sukan Asia dan akhirnya keputusan dibuat itu tepat apabila Qabil menyumbang emas buat kontinjen negara di temasya sukan ke-19 sebenua itu.
“Saya tidak join RTG sebab saya tak dapat melayakkan diri ke Olimpik Paris, kerana sudah banyak terlepas kejohanan kelayakan.
“Sebab itu jugalah saya lebih fokus kepada Sukan Asia, malah beberapa kejohanan kelayakan juga bertembung dengan temasya di Hangzhou lalu.
“Sukar untuk saya mengejar mendapatkan mata lagi, tetapi saya harap ada sokongan berterusan untuk membantu saya melayakkan diri ke Sukan Olimpik akan datang,” kata Qabil.
Baru-baru ini, mesyuarat jawatankuasa RTG membincangkan kedudukan Qabil sebelum menurut permintaan atlet itu, tidak menyenaraikannya ke dalam RTG kerana tidak sempat lagi memungut mata kelayakan selain keutamaan kepada keluarga.
Atlet ekuestrian negara berusia 43 tahun itu bagaimanapun menjelaskan, belum ada rancangan untuk bersara namun diia perlu memikirkan perancangan masa hadapan selepas 28 tahun berkecimpung dalam sukan terbabit dan mencurah bakti kepada negara.
“Saya perlu fikirkan keluarga, dalam masa sama mempertimbangkan kemampuan untuk meneruskan sukan ini kerana kos sangat tinggi dalam sukan ekuestrian, terutamanya kos membeli kuda.
“Tapi saya harap pada masa hadapan, akan ada sokongan dan saya mungkin pertimbangkan untuk meneruskan berkecimpung dalam sukan ini, selain menilai kemampuan diri,” kata Qabil selepas Majlsi Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Sea dan Sukan Asia, kepada atlet Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Putrajaya.
Mengulas mengenai insentif itu, Qabil berterima kasih dan bersyukur kerana sumbangan atlet kepada negara, tetap dihargai.
Sementara itu, Qabil berharap akan ada pelapis dalam sukan ekuestrian yang sanggup mengabadikan diri seperti dia yang mencurahkan kehidupannya selama ini.
“Saya harap akan ada atlet yang mengambil alih posisi saya, saya juga semakin bertambah usia tapi saya mahu atlet muda menggantikan saya sanggup berkorban sebagaimana saya lakukan,” ujarnya.