Setiap kali FLASH SUKAN berkunjung ke Kota Kinabalu untuk membuat liputan Sabah FC, sudah pasti ramai para pengikut kami di media sosial yang mencadangkan untuk mencuba sendiri keenakan makanan laut segar yang menjadi lambang ibu negeri Sabah ini.

Dengan lokasinya bersebelahan laut, tidak hairan mengapa Kota Kinabalu atau KK ini terkenal sebagai syurga makanan laut dan bagi kami yang hadir dari Semenanjung, sudah pasti ianya menjadi tarikan buat kami untuk mencubanya sendiri.

Tinjauan kami mendapati Medan Selera Todak di tengah-tengah bandar KK menjadi tumpuan pengunjung untuk menjamu selera dengan pelbagai kedai menawarkan hidangan makanan laut yang dimasak ‘on the spot’ mengikut selera para pengunjung.

Medan Selera Todak, Kota Kinabalu

Pelbagai jenis makanan laut terdiri dari ikan, sotong, ketam, udang dari yang kecil hingga ke besar, hidupan bercengkerang serta udang kara atau ‘lobster’ dijual disini dan berdasarkan pengamatan kami, harganya masih berpatutan dan jauh lebih murah dari harga di Semenanjung.

Harga masakan akan dipersetujui bersama antara peniaga dan pengunjung terlebih dahulu dengan segala berat timbangan dapat dilihat dengan jelas sekaligus mengelakkan penipuan dan makanan laut itu langsung dimasak.

Pelbagai jenis makanan laut segar boleh dipilih para pengunjung

Sudah menjadi kewajipan untuk mencuba hidangan ‘lobster’ di KK dan sememangnya ianya tidak mengecewakan kerana udang kara yang segar itu memberikan rasa manis ditambah dimasak secara ‘butter salted egg’ yang cukup menyelerakan.

Melengkapkan lagi suasana makan yang syahdu, medan selera ini terletak di tepi laut dengan pemandangan laut lepas ditemani bot-bot nelayan yang berlabuh sudah cukup untuk memberikan rasa ‘healing’ sambil menikmati makan malam.

Tidak hanya bertumpu di Medan Selera Todak, pelbagai lagi tempat menyediakan layanan makanan laut namun kami memilih untuk makan disitu kerana ianya berhampiran tempat penginapan kami.

Mungkin selepas ini kami akan mendapat cadangan lain dan sekiranya kami berkunjung sekali lagi, ianya bakal menjadi tempat untuk dikunjungi bagi menjamu selera.

Terima kasih Sabah!