AKSI Liga Super minggu keenam kembali bersambung pada Jumaat selepas berehat hampir dua minggu kerana memberi laluan kepada dua perlawanan persahabatan antarabangsa Harimau Malaya mengikut kalendar Fifa.
Dengan kesemua pemain yang dipanggil ke skuad kebangsaan sudah kembali ke kelab masing-masing tumpuan penyokong kini beralih kepada aksi liga meskipun berlangsung dalam bulan Ramadan.
Empat perlawanan akan dilangsungkan pada Jumaat manakala tiga lagi aksi akan diadakan pada Sabtu dengan tumpuan lebih terarah kepada perlawanan pada Jumaat.
Ini kerana ianya melibatkan tiga aksi derbi — derbi Pantai Timur, derbi Utara dan derbi Lembah Klang selain aksi yang menemukan dua pasukan teratas Liga Super di Iskandar Puteri.
Derbi Lembah Klang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pasti menjadi tumpuan kerana perseteruan yang tinggi antara kedua-dua pasukan bagi memastikan kemenangan demi bergelar Raja Lembah Klang.
Di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pula bakal menyaksikan Derbi Utara antara Penang FC dan Perak FC dengan kedua-dua pasukan kini sedang bergelut untuk mencari rentak cemerlang dan tempoh rehat dua minggu ini pastinya digunakan barisan kejurulatihan untuk memperbaiki pasukan.
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pula akan menjadi gelanggang untuk Derbi Pantai Timur antara Terengganu FC dan Kelantan United FC. Pasukan tuan rumah yang semakin tertekan selepas beraksi hambar dalam lima perlawanan awal sudah tentu mahu menjadikan seteru Pantai Timur ini sebagai medan terbaik untuk bangkit semula memberikan saingan.
Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula akan diuji pasukan yang juga masih kekal dengan rekod tanpa kalah, Sabah dalam aksi ‘top of the table clash’ di Stadium Sultan Ibrahim yang dikatakan bakal menjadi penentu hala tuju siapakah yang bakal bergelar juara liga musim ini.
Empat perlawanan ini sememangnya menarik untuk disaksikan pada Jumaat namun ada tiga lagi perlawanan pada Sabtu dengan perlawanan di Kuantan bakal menjadi tumpuan apabila Sri Pahang melayan kunjungan Kedah Darul Aman dengan skuad Tok Gajah juga mahu mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.
Dua lagi perlawanan Liga Super minggu keenam adalah antara Negeri Sembilan dan Kelantan di Paroi manakala pasukan yang mengejutkan ramai musim ini, PDRM FC terbang ke Kuching untuk bertemu Kuching City FC.
Tujuh aksi menarik di tujuh venue bakal memberikan rasa teruja buat para peminat bola sepak tempatan dan mari ramai-ramai ke stadium untuk berikan sokongan dan jangan jadikan Ramadan sebagai alasan untuk tidak berada dibelakang pasukan masing-masing.