PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe berpuas hati dengan sumbangan yang diberikan penyerang baharu, Ayron Del Valle kepada pasukan dan menganggap pemain itu masih relevan untuk berada dalam pasukan.

Ini selepas Ayron menyumbang dua lagi gol buat Selangor, menjadikan gol keempat peribadinya ketika membantu The Red Giants mencipta kemenangan 3-1 keatas jiran setempat, Kuala Lumpur City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Cheng Hoe juga berharap dengan dua jaringan ini ianya akan meningkatkan lagi semangat dan rasa percaya diri buat Ayron namun apa yang penting adalah sumbangan dia untuk pasukan.

“Ayron ada kualiti penyerang tersendiri dan dia sangat bahaya di depan gol tetapi dia masih perlu masa dalam pasukan. Setiap hari dia bekerja keras dan berada pada tahap terbaik. Sudah tentu selepas menjaringkan gol, keyakinan dia akan meningkat tetapi sumbangan dia dalam pasukan juga perlu diperhatikan dan meskipun dikatakan sudah berusia namun dia masih relevan untuk Selangor,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu juga mengakui bukan mudah untuk mempersiapkan pasukan apabila kehilangan 13 pemain yang mewakili negara dan baginya kemenangan keatas KL City ini adalah pemangkin semangat buat para pemain.

Cheng Hoe juga berpendapat bahawa para pemain yang pulang dari tugasan antarabangsa ini banyak membantu pemain muda untuk menyesuaikan diri dan juga menambahkan keyakinan ketika sedang beraksi.

Ayron meraikan jaringannya bersama Faisal Halim.

“Ianya adalah Derbi Lembah Klang yang sukar. Pemain sudah tahu sebelum perlawanan yang mereka perlu menang untuk meningkatkan moral pasukan. Bukan mudah sebagai jurulatih untuk menyiapkan pasukan sebab ramai pemain ke skuad kebangsaan dan bagi saya tiga mata ini yang penting serta beri semangat kepada pasukan.

“Bukan mudah untuk tentukan pasukan apabila baru sahaja mendapat skuad penuh pada Khamis. Semua pemain tahu tanggungjawab dan saya hanya perlu memberitahu untuk tingkatkan pembuatan keputusan ketika serangan dan lebih kompak di pertahanan. Tahniah kepada pemain yang berusaha keras untuk dapatkan tiga mata.

“Kebanyakan mereka bermain di perlawanan antarabangsa dan ini membantu pasukan dari sudut keyakinan terutama kepada pemain muda menjadikan pasukan kami mempunyai gabungan pemain yang baik dan perjalanan masih panjang,” tambahnya.

Dia turut gembira melihat Faisal Halim akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan namun seperti juga Ayron, Cheng Hoe mahu melihat sumbangannya kepada pasukan dan tidak bimbang jika dia tidak berjaya menjaringkan gol.

Dalam masa yang sama, Cheng Hoe turut menegur gelagat pemainnya yang dilihat lebih gemar mempertikaikan keputusan pengadil berbanding fokus kepada pasukan yang menyaksikan mereka dibolosi oleh lawan.

“Ini semua adalah pelajaran buat pemain. Mereka perlu bermain mengikut wisel dan jangan hilang fokus. Harap akan datang mereka lebih fokus kepada permainan sahaja dan bukan kepada keputusan pengadil,” tegasnya.

Dengan kemenangan ini, Selangor naik ke tangga ketiga dengan 13 mata dan kini berkongsi mata yang sama dengan Sabah dan bakal bertemu Negeri Sembilan FC dalam perlawanan Liga Super seterusnya pada Selasa.