PENYERANG Uruguay, Darwin Nunez digantung lima perlawanan antarabangsa bersama beberapa pemain lagi kerana terbabit dalam pergaduhan dengan penyokong ketika aksi Copa America menentang Colombia pada Julai lalu.
Rodrigo Bentancur digantung empat perlawanan, manakala Ronald Araujo, Jose Maria Gimenez dan Mathias Olivera masing-masing digantung tiga perlawanan.
Kapten Uruguay, Gimenez berkata pemain-pemain terbabit cuba mempertahankan ahli keluarga masing-masing.
Persatuan Bola Sepak Uruguay turut didenda AS$20,000 dan 11 pemain keseluruhan digantung kerana terbabit dalam pergaduhan.
Nunez didenda dengan jumlah sama, Bentancur AS$16,000, manakala Araujo, Olivera, dan Gimenez didenda AS$12,000 seorang.
Uruguay akan berdepan Paraguay di Montevideo dan Venezuela di Maturin pada September; Peru (tempat lawan) dan Ecuador (laman sendiri) pada Oktober; Colombia (laman sendiri) dan Brazil (tempat lawan) pada November.