AKSI pertama pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) negara kecundang 1-2 di tangan Timor Leste pada perlawanan persahabatan Tier 2 yang berlangsung pada Jumaat malam.
Pasukan kendalian Brad Maloney ini yang hanya baharu sahaja beberapa hari mendapat skuad penuh tampil dengan aksi baik dalam percaturan penyesuaian pemain.
Persembahan kental pada babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Namun pada separuh kedua corak permainan berubah dengan menyaksikan Timor Leste berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-51 menerusi Elias Joao Da Costa.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad Harimau Muda mula melakukan serangan yang menyaksikan Faiz Amer Runnizar berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-66.
Sebelas minit kemudian Jhon Frith Ornai menambah jaringan untuk meletakkan Timor Leste berada di depan.
Keputusan tersebut kekal sehingga tamat permainan.
Skuad B-23 negara bakal berdepan satu lagi perlawanan persahabatan sebagai persiapan ke Sukan SEA ke-31 Vietnam dengan menentang B-23 Filipina pada 1 Mei ini sebelum memuktamadkan senarai terakhir 20 pemain untuk ke Hanoi pada 4 Mei.
Malaysia dijadualkan untuk berhadapan Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong Stadium, Nam Dinh. Hanya dua pasukan terbaik layak ke separuh akhir.