PEMAIN sayap kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid menzahirkan kesyukuran kerana diberi kepercayaan oleh Presiden Ratchaburi FC , Tanawat Nitikanchana yang bersetuju menerimanya beraksi di Liga Thailand musim depan.
Safawi,25, mengakui penghijrahannya ke Thailand adalah kerana kurangnya minit permainan sewaktu bersama pasukan gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Presiden Ratchaburi, Tanawat Nitikanchana ingin menggunakan khidmat saya dan saya sangat hargai serta tidak sabar. Saya akan buat yang terbaik di Ratchaburi FC.
“Saya tidak cakap liga kita baik atau liga Thailand baik. Saya rasa ada perbezaan kerana di sana banyak pengawalan bola dan permainan secara laju. Semua orang tahu ada perbezaan liga kita dan di Thailand,” ujarnya kepada media sebelum sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM , Kelana Jaya.

Namun sebelum terbang ke Thailand, Safawi ingin fokus terlebih dahulu terhadap persiapan menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric dan hanya akan memikirkan tentang bulan madu selepas bergelar suami minggu lalu.
Dalam beberapa siri perlawanan persahabatan ketika ini, Safawi mensasarkan untuk membantu pasukan kebangsaan menghuni kelompok ranking 125 terbaik dunia.
“Isteri selalu sokong saya, sentiasa bagi kata semangat. Syifa sentiasa ada di belakang saya.
“Kalau kita menang Piala AFF baharulah kita bincang tentang honeymoon. Sekarang saya fokus kepada persiapan untuk Piala AFF. Kalau boleh perlawanan antarabangsa,kita mahukan mata. Kita akan buat yang terbaik dan dapatkan kedudukan 125 terbaik dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Safawi berazam untuk memberikan sesuatu dalam permainannya memandangkan sudah berehat terlalu lama di bangku simpanan.
“Terima kasih semua yang bagi ucapan , ini adalah motivasi bagi saya. Tahun ini , saya kurang minit permainan.
“Memang sasaran saya hendak bagi sesuatu untuk keluarga dan pasukan. Saya rasa kali ini, saya akan buat sesuatu,” tambahnya.