PETIKAN sajak yang diluahkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menarik perhatian ketika berlangsungnya Kongres Tahunan FAM 2022 yang berlangsung pada Sabtu.
Dengan penuh ‘isi’, Hamidin ketika itu menyeru dan merayu agar memberi perhatian terhadap ‘kelesuan’ yang ditonjol oleh ahli FAM.
“Atas apa jua alasan sekalipun, pasti mengundang keresahan kepada FAM. Kekuatan FAM bertunjangkan kegagahan ahlinya, jatuh bangun bola sepak negara di tangan kita.
“Setiap jawatan yang dipegang menuntut kita untuk terus bekerja dan bukannya sekadar berbangga dengan jawatan yang ada.
“Persatuan bola sepak adalah organisasi yang berantai, memerlukan setiap kita untuk mengikat dan memperkukuhkannya. No man is an Island, entire of itself. Every man is a piece of the continent, a part of the main. Faksi yang terbentuk dalam persatuan bola sepak hanya menghasilkan satu sahaja mangsa, iaitu bola sepak itu sendiri.
Kongres Tahunan FAM Kali Ke-58 | Sabtu, 6 Ogos 2022
Kongres Tahunan FAM Kali Ke-58 telah berlangsung di Hilton Petaling Jaya, hari ini yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.
▶️ Lagi gambar di https://t.co/1MqTeQinPI#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/OxkLI5MgK0
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) August 6, 2022
“Bagi mengelak diri kita dari terus kelemasan dalam isu yang tidak menguntungkan, membiarkan jurang kejayaan semakin jauh dari kecapan, merangkak dalam era yang seolah-olah tiada pergerakan; masanya sudah tiba untuk kita meraikan kesepakatan melalui budaya kerja berpasukan dan seterusnya membentuk satu keluarga bola sepak negara yang benar-benar kukuh, competent, dinamik dan berwibawa.
“Sejujurnya, inilah satu-satunya adunan yang masih terpinggir dari diri kita,” ucapnya penuh bermakna.
Antara sajak yang disampaikan Hamidin berbunyi:
Wahai rakanku
Langkah kecil yang dihayun sekarang
Akan menjadi langkah besar pada masa akan datang
Sebagaimana asal lahirmu kerdil
Membesarlah menjadi insan cemerlang
Gemilang di kalangan manusia terbilang
Wahai rakanku
Jadikan semalam, sejarah yang penuh iktibar
Jadikan hari ini, waktu yang tidak kau sendakan
Jadikan hari esok, warisan tentang pengorbanan
Agar perjalanan hidup menjadi sempurna
Kelak bercahaya jalan yang dijana
Wahai rakanku
Jangan dihitung resah yang dalam
Jangan dihitung payah yang datang
Jangan dihitung gelisah yang panjang
Kerana semuanya adalah pemanis hidup
Menjadikan kita lebih kuat
Menjadikan kita lebih nekad
Menjadikan kita kaya jiwa
Menjadikan kita lebih sempurna